Blogger Backgrounds

Sabtu, 15 September 2007

Ramadhan menilai kekuatan diri








RAMADAN datang lagi. Terasa masa yang terlalu terlalu singkat sejak kehadiran Ramadan tahun lepas. Begitulah berlalunya usia kita. Tahun demi tahun usia bertambah. Ini juga memberi petanda bahawa kita makin menjejaki hujung usia.

Seperti tahun-tahun lepas apakah tahun ini kita membuat persiapan yang rapi menyambut kedatangan Ramadan itu. Sebenarnya di sebalik Allah s.w.t. menciptakan bulan Ramadan yang mulia dan disyariatkan pula amalan berpuasa, terkandung seribu hikmah yang tersirat.

Yang lebih istimewanya, hikmah atau keistimewaan ini bukan manfaat untuk orang lain atau untuk masyarakat umum, malah untuk diri kita sendiri!

Ada orang mentafsir puasa sebagai amalan untuk diet, mengawal pemakanan dan memberi kerehatan kepada tubuh badan khususnya perut setelah 11 bulan bekerja keras iaitu makan tanpa henti ibarat sebuah kilang yang memproses barangan 24 jam tanpa henti.

Sebahagian yang lain pula menterjemah puasa sebagai masa untuk mengenang kesusahan dan penderitaan orang lain. Ada juga yang memahami bahawa puasa ialah bulan untuk beribadat.

Semuanya benar belaka. Tetapi tahukah anda bahawa ada hikmah yang lebih halus dari itu semua yang jarang dapat dinilai orang.

Firman Allah s.w.t.

(ياءيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب علي الذين من قبلكم لعلكم تتقون)

yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Ayat di atas dapatlah disimpulkan bahawa hikmah sebenar ibadah puasa ialah untuk menjadikan kita orang yang bertakwa.

Siapakah orang yang bertakwa? Istilah ini terlalu kerap disebut hingga sudah menjadi satu cliche yang tidak difahami sepenuhnya.

Orang yang bertakwa ialah orang yang taat dan patuh kepada perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangan-Nya dalam setiap tindak tanduk kehidupan.

Soalnya kenapa puasa dipilih menjadi salah satu pintu untuk mencapai darjat takwa? Begitu tinggi sekali fungsi puasa.

Pertama kerana puasa adalah satu-satunya ibadah yang dapat menguji taraf ikhlas seseorang. Ibadah lain seperti solat, membayar zakat, bersedekah, mengerjakan haji, membaca al-Quran, berselawat, berzikir dan sebagainya nampak pada lahirnya. Tetapi puasa tidak dapat dilihat secara zahir.

Bila kita melihat muka seseorang, susah kita mengetahui sama orang itu berpuasa atau tidak. Tidak ada tertulis di dahinya, “Saya sedang berpuasa.” Sedangkan orang yang sedang berpuasa boleh sahaja mencuri makan, minum atau menghisap rokok di luar daripada penglihatan orang ramai. Tiada siapa yang tahu kecuali Allah dan malaikat-Nya.

Kedua puasa menambah keyakinan dan perhubungan hati kita kepada Pencipta atau apa yang diistilahkan sebagai hablum minallah. Hanya orang yang yakin kepada Allah s.w.t. sahaja yang sanggup berpuasa. Kalau bukan kerana Allah mengapa kita mesti bersusah payah berlapar dan dahaga.

Keyakinan kepada Allah ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, an-Nasa’i dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…”

Ketiga, berpuasa dapat merapatkan perhubungan kita sesama manusia atau apa yang diistilahkan sebagai hablum minannas:

1. Melihat kesusahan orang lain menanggung kemiskinan dan kelaparan.

2. Membayar zakat fitrah untuk dibahagikan kepada golongan fakir miskin, anak yatim, mualaf, orang yang berjihad di jalan Allah dan lain-lain yang memerlukan.

3. Berjemaah solat tarawih.

4. Tadarus al-Quran dalam kumpulan.

5. Mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai.

6. Saling menghantar ucapan Selamat Hari Raya melalui kad, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau telefon.

Keempat, mengharapkan ganjaran yang besar dari Allah melalui kedatangan Lailatul Qadar di mana beribadat di malam itu akan diberi ganjaran pahala seperti beribadat 1,000 bulan (lebih 83 tahun).

Untuk memantapkan ganjaran dan harapan ini Allah tidak menetapkan malam-malam tertentu untuk menunggu kedatangan Lailatul Qadar tersebut. Malah ulama berpendapat malam Lailatul Qadar itu adalah:

1. 10 malam akhir yang ganjil bulan Ramadan (malam 21, 23, 25, 27 dan 29)

2. 10 malam akhir bulan Ramadan (malam 21 hingga 29)

3. Keseluruhan bulan Ramadan (1 Ramadan hingga 29 Ramadan)

Lagi sekali keikhlasan memain peranan penting untuk kita beribadat sepanjang bulan Ramadan kepada Allah semata-mata tanpa mengharapkan ganjarannya.

Kelima, bulan Ramadan merupakan pintu untuk merayakan Aidil Fitri iaitu sambutan hari kemenangan umat Islam. Kemenangan dapat ditafsirkan sebagai:

1. Kemenangan menempuh bulan Ramadan yang penuh cabaran dengan berjaya.

2. Kemenangan umat Islam lampau memerangi musuh-musuh Islam.

3. Kemenangan melawan hawa nafsu dan sifat-sifat mazmumah diri.

Keenam, bulan Ramadan ini sebenarnya merupakan bulan latihan di mana Allah melatih manusia untuk menjadi hamba yang bertakwa dengan mengkhususkan ibadat-ibadat tertentu yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain, antaranya:

1. Melatih kita supaya berjinak-jinak dengan masjid dan surau pada waktu malam dengan mensyariatkan solat tarawih dan sunat pula didirikan di masjid secara berjemaah.

2. Membiasakan diri dengan ibadah membaca dan menghafal al-Quran.

3. Melatih diri bangun awal sebelum terbit fajar untuk makan sahur.

4. Melatih diri untuk mudah bersedekah.

Ketujuh, bulan Ramadan merupakan bulan membuktikan bahawa kesan makan minum lahiriah tidak menghindar kita dari terus melakukan pekerjaan harian seperti bekerja, berusaha, berjuang dan berjihad jika keyakinan pada kemampuan diri dan pergantungan kepada Allah kuat. Sesungguhnya usaha diri kita tidak memberi bekas, hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

Jika kita dapat mengambil iktibar dari ketujuh-tujuh hikmah di atas sudah tentulah puasa kita tahun ini berbeza dari puasa kita tahun-tahun yang lalu. Malah kita akan mampu untuk mendatangkan motivasi yang tinggi untuk menjana diri mencapai kecemerlangan yang lebih menonjol

Khamis, 13 September 2007

Doa Ramadan Malaikat Jibril Benarkah ianya wujud?


Setiap kali Ramadhan semakin menjelang, pastinya kita akan menerima dan memberi mesej mengucapkan selamat menyambut ramadan dan ada juga nasihat-nasihat yang boleh kita jadikkan sebagai muhasabah pada diri kita,akan tetapi kita kenalah berjaga-jaga juga kerana dalam kita hendak membuat kebajikan kita juga tidak terlepas dari membuat dosa kerana ketidaktelitian kita atas apa yang telah kita sebarkan, seperti yang telah diforwadkan melalui yahoo mesengger tentang sebuah hadis berkaitan doa Jibril dan diaminkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam serta para Sahabat. Hadis tersebut berbunyi:

Malaikat jibril Menjelang Ramadhan “Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang

tuanya (jika masih ada);

* Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami istri;

* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.” Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak3 kali.

Inilah hadis yang tidak diketahui kesahihannya,adapun terdapat hadis yang mirip dengan hadis yang difowardkan itu. Hadisnya adalah seperti berikut. Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu’anhuma:

:

أن النبي صلى الله عليه وسلم رَقَى المِنبر فَلما رَقَى الدَّرجة الأُولى قال : ( آمِين ) ثُم رَقى الثَانية فَقال : ( آمِينَ ) ثُم رَقى الثَالثة فَقال : ( آمِينَ ) فقالوا : يا رسول الله سَمعنَاك تَقولُ : ( آمينَ ) ثَلاث مَرات ؟ قال : ( لَما رَقيتُ الدَّرجةَ الأُولى جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ، ثُم قَال شَقي عَبدٌ أَدرك والدَيهِ أَو أَحدَهُما فَلم يُدخِلاهُ الجنَّةَ . فَقلتُ : آمينَ . ثُم قَال شَقي عَبدٌ ذُكرتَ عِندهُ ولَم يُصلِ عَليك . فَقلتُ : آمينَ )

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”.

Para sahabat bertanya.”Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.

Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’ “.

Kemudian Jibril berkata lagi.’Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.” [Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad dan dinilai Sahih Lighairihi oleh al-Albani di dalam Sahih Adab al-Mufrad – no: 644]

Ianya seakan-akan sama tetapi matan (isi kandungan) hadis tersebut ternyata berbeza dan hadis ini sememangnya masyhur di dalam kitab-kitab yang membicarakan tentang Ramadhan. Namun kini nampaknya hadis yang tidak diketahui sahih ataupun tidak itu pula telah menjadi lebih terkenal.

Para Sahabat sekalipun pernah hidup di zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, mereka tidak mengamalkan sikap bermudah-mudahan dalam mennyampaikan hadis selepas kewafatan baginda. Mereka sangat teliti dan berhati-hati dan berbeza sekali dengan kita pada hari ini,begitu mudah dan kebanyakkan yang menyebarkan hadis itu sendiri tidak sedar bahawa tidak semua hadis itu sahih (authentic) hanya sekiranya ia menyatakan “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda” atau “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan itu dan ini”terus kita sebarkan siap berserta emoticon senyuman tanpa teliti dan berhati-hati.

Para Sahabat takut menjadi orang yang banyak meriwayatkan hadis dikhuatiri mereka terjerumus ke dalam kesilapan dan kesalahan, hingga akhirnya membawa mereka untuk berdusta ke atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, suatu perbuatan yang amat tercela dan mendapat ancaman yang sangat buruk daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. [Manna’ Khalil al-Qathan, Mabahats Ulumul Hadis (Cara Mudah Memahami Ilmu-Ilmu Hadis), ms. 66]

Ancaman yang dimaksudkan itu adalah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka. [Sahih Muslim – no: 3]


Sekiranya kita tidak pasti apabila menerima suatu hadis, kita ada tiga pilihan:

[1] Menyelidik dan menyemaknya bagi yang berkemampuan.

[2] Bertanya kepada yang lebih mengetahui terutama mengenai ilmu hadis .

[3] Berdiam diri daripada menyebarkannya sekiranya tidak mampu melakukan kedua-dua perkara diatas sehinggalah telah jelas hujah bahawa ianya sahih dan selamat disebarkan.

Contohilah sahabat yang begitu berhati-hati dalam meriwayatkan hadis kerana khuatir terjerumus dalam ancaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.Ingatlah Firman Allah Subhana wa Ta’ala:

ووَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُول

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [al-Isra’ 17:36]

Selasa, 4 September 2007

Kubur Tidak Kira Darjat


Dikisahkan bahwa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antaranya :- 1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a) 2. Hasan (anak Fatima r.a) 3. Husin (anak Faimah r.a) 4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a.


Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah S.A.W."

Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya:-
1.Hendaklah ia menjaga solatnya
2.Hendaklah dia bersedekah
3.Hendaklah dia membaca al-Quran
4.Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah:-
1.Jangan berdusta
2.Jangan mengkhianat
3.Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4.Jangan kencing sambil berdiri.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing." Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah.

Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahwa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah! mudah saja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya." Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran.

Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.

Wassalam