Blogger Backgrounds

Pages

Ahad, 18 November 2007

Al-quran di atas rehal, bolehkah sekadar bertanya

Apa yang paling menarik perhatian rakyat yang peka mengenai Islam di sepanjang Perhimpunan Agung Umno tempoh hari mungkin cuma satu perkara iaitu terdapatnya al-quran yang dihiasi di atas rehal
Bagaikan bahan pemujaan, adakah kehadirannya di situ sekadar perhiasan? Adakah Al-Quran diletakkan kerana ia adalah perlembagaan hidup yang diperjuangkan sebuah parti kebangsaan? Atau, ia sekadar mahu mengelirukan perwakilan supaya beranggapan bahawa Umno yang sekularpun kadang-kadang mahu juga kepada Islam.
Itupun mengikut keadaanlah. Sesuai, dipakai atau jika tidak, disimpan.
Di dalam al-quran, kita ada ajaran mengenai beriman kepada Allah dan Rasul. Kita diharam melakukan syirik. Kita wajib percaya kepada alam ghaib. Kita digesa beriman kepada adanya malaikat. Kita mesti beriman dengan pembalasan akhirat dan beriman dengan qadha dan qadhar.
Dalam al-quran, ada qisah dan sejarah. Ada berita tentang kezaliman Narud dan Firaun yang menindas kebenaran ajaran wahyu yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan Musa.
Dalam kitab suci yang amat kita kasihi ini ada menukilkan perjalanan hidup Rasulullah SAW; kelahirannya, Israk Mikrajnya, kegemilangan akhlaknya, pelantikan kenabiannya, pengkhianatan dan pemboikotan terhadap Bani Hashim dan Bani Muthalib, peristiwa hijrah, usaha membina masyarakat Islam di Madinah melalui Sahifah Madinah, peristiwa Bai'atur Ridhwan yang akhirnya membawa kepada pembukaan Kota Makkah.
Di sana ada persoalan perang dan damai, pengurusan ekonomi, penyediaan bajet untuk fakir miskin dan orang yang terikat dengan hutang. Semuanya sarat dengan contoh dan teladan untuk dilaksanakan. Islam di gambarkan melalui al-quran dalam satu kerangka Deen yang lengkap melalui sirah dan perjalanan hidup Nabi s.a.w. yang teliti, diterjemahkan dalam segenap gerak diam dari setiap detik tingkah laku di sepanjang 23 tahun tempoh kerasulan.
Apa yang tersangat mustahak diperhatikan ialah Islam bawaan junjungan kita didasarkan kepada panduan al-quran sepenuhnya. Tanpa sejanggut udang, Nabi kita tidak pernah berkompromi dengan budaya dan cara hidup jahiliyah tinggalan nenek moyang Abu Lahab dan Abu Jahal. Islam sentiasa tegap berdepan dengan pokok jahiliyah dari pucuk, daun, ranting, dahan, batang , akar ke umbi.
Susulan pertanyaan selanjutnya ialah apa sikap Umno terhadap Islam sejati, yang dibawa oleh para Rasul, nabi-nabi dan wali-wali zaman berzaman sehingga sudah mulai pandai mengusung al-quran kedalam perhimpunan agungnya buat pertama kali?
Dengan meletakkan al-quran di hadapan, mari kita ke makmal minda sekejap untuk menguji kejujuran. Apa pandangan Umno mengenai usaha mengalih aqidah Islam dan meletakkan Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Memiliki Kerajaan dan Maha Menentukan segala Undang-Undang dan menukar gantikannya dengan faham kebangsaan?

Apa pandangan Umno sampai seolah-olah berani meletakkan Allah tidak berfungsi? Apa pandangan Umno mengenai tauhid dan syirik? Apa pandangan Umno mengenai murtad dan mulhid. Apa pandangan Umno mengenai tudung dan aurat? Apa pandangan Umno mengenai arak dan judi? Apa pandangan Umno mengenai amalan menolak hudud dan menyamannya?
Apa pandangan Umno mengenai amalan menerima sebahagian dari kitab dan menolak sebahagian darinya? Rasuah dan penyalahgunaan kuasa? Menyekat bantuan SAR. Pengundi hantu? Adanya dua senarai pemilih? Undi pos?
Di tengah-tengah kekeliruan haluan yang digambarkan oleh amalan pucuk pimpinannya itulah, rakyat mempunyai syak yang kuat perihal terdesaknya Umno untuk mendapatkan sokongan. Banyak pihak beranggapan, oleh kerana kepimpinan Umno terkini sudah terhakis keyakinannya dari hati masyarakat Tionghua, Siam dan India, mereka mula cuba mahu dirinya dilihat sebagai pembela kepada masyrakat Islam pula yang berbangsa Melayu.
Maka, antara kucup keris dan al-quran yang dihiasi di rehal, pemimpin Umno cukup dilihat serba salah dan amat kelakar ketika menghunus keris. Sambil mengacah-acah rata itu, 'dia' cuba cuba pula mendakwa bahawa keris Melayunya itu adalah untuk membela orang Melayu dan non-Melayu. Pulak!
Menyentuh tentang keris, PAS tiada cadangan untuk berperang dengan sesiapa. Kami menghormati, ia sekadar sejenis senjata pesaka kesayangan orang Melayu. Tidak terlalu terbawa-bawa dengan mitos kekeramatan keris, PAS cuma serius memikirkan bagaimana lisan dan tulisan boleh berdakwah.
Seperti yang sering disebut oleh Mursyidul Am PAS, kita ini datang dari keturunan yang sama. Sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan dan Siam, kita dari Adam yang satu. Islam berkembang bukan dengan mata keris dan pedang tetapi dari kepetahan dan kelembutan lisan dan tulisan sejak dari dahulu. Di sini, Umno tidak akan mampu memahami hikmah dan kepentingan perpaduan kerana 'dia' sendiri bertolak dari pengkalan faham kebangsaan yang menolak Islam. Dia keliru dengan keris yang digenggamnya sejak dari awal-awal lagi. Ini yang sekejap hunus, sekejap kucup nih!
Kemudian, dengan penuh tidak cermat, pemimpin Umno sering menakut-nakutkan pula rakyat tentang bahaya Islam yang boleh memecah belah. Tidakkah Islam itu sendiri adalah satu gagasan perpaduan terbesar berasaskan kesatuan dan perpaduan tauhid.
Mustahil Allah SWT yang bersifat Maha Bijaksana; mencipta manusia dan ugama yang diredaiNya dalam sistem hidup Islam yang lengkap tetapi tiba-tiba pula boleh membawa bahaya dan memecah belahkan perpaduan kaum ?
Contoh unggul yang boleh dirujuk dari sejarah Islam ada terpahat melalui kelahiran tiga tokoh besar generasi sahabi yang bernama Salman Al-Farisi(Farsi), Bilal Al-Habashi (Habshah) dan Suhil ibn Rumi (Rom) yang boleh hidup penuh rukun bersama seluruh umat Islam di zaman Nabi. Jika dalam konteks terkini di Malaysia, mereka mungkin boleh di samakan dengan kaum Melayu, Cina, India dan Benggali.
Bagi orang Melayu, segala bukti non-pembelaan terhadap bangsanya sudah lebih dari cukup. Bagi non-Melayu pula, mereka kurang nampak dan mulai tidak yakin lagi akan satu masa depan yang cerah untuk Malaysia dibawah kepimpinan Umno yang ada sekarang. Di hati kecil rakyat Malaysia pada amnya, apa yang sering terbetik dan dapat kesan dengan mudah oleh mereka ialah suasana cemerlang yang dibuat-buat. Pertumbuhan ekonomi. Laungan ucapan. Sokongan dan perhimpunan. Pelancaran itu dan ini. Lagu-lagu patriotik. Hampir semuanya seakan-akan diokestrakan secara 'pre-council'.
Lalu, sekadar bertanya. Adakah al-quran yang didudukkan di rehal dalam Perhimpunan Agung Umno yang baru berlalu itu adalah satu lagi ilham tambahan dalam sebuah sediwara terbaru?
Sesungguhnya, seratus ribu lautan manusia yang berbaju kuning, yang sanggup bergantungan di palang Komuter, STAR dan LRT; berkeliaran dan kadang-kadang kelihatan bertempiaran lari menyelamatkan diri dikejar polis, SB dan FRU di Masjid Negara, Masjid Jamek, Masjid India,Central Market dan lorong kaki-kaki lima kedai yang mengiringi Presiden PAS dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat ke Istana Negara pada demonstrasi aman pada 10 November 2007 yang lalu mengesahkan satu perkara sahaja iaitu: Umno yang sudah ditolak kerana mengkhianati amanah Allah dan mencemuh agama sendiri, mengherdik bangsa Melayu, bahkan sistem demokrasi berpilihan raya untuk kepentingan bangsa-bangsa di Malaysia.
Demonstran bukan mencabar apa-apa atau sesiapa seperti yang cuba disogok oleh Presiden Umno dan Timbalannya tetapi sekadar menuntut hak untuk melihat pilihan raya kali ke-12 dijalankan dengan BERSIH sebersih-bersihnya. Itu saja. Takkan salah !
Tidak berbangkit langsung, Presiden Umno yang pantang dicabar atau 60 NGO dan parti-parti politik pembangkang yang cuba mengheret Yang di-Pertuan Agong ke kancah politik.
Macam mana pula, Pengerusi SPR dilantik oleh baginda tiba-tiba pula baginda dilihat sebagai seorang yang tidak boleh ambil tahu mengenai hal ehwal perjalanan pilihan raya yang bakal membentuk kerajaan negaranya sendiri !
Soal Kebawah Duli kita akan diheret ke mana-mana pun tidak timbul kerana baginda lebih arif dari apa yang mungkin disangkakan oleh sesetengah pemimpin Umno. Duli-duli Baginda Raja-Raja kita ada penasihat-penasihat yang cukup lengkap.
Ini bukan zaman sistem monarki berkuasa mutlak Raja Hammurabi dalam tamadun Mesopotamia 3,500 tahun S.M. di mana 'the right devine of Kings is to govern wrong' - Alexander Pope.
Sebagai penutup, izinkan saya kembali kepada pertanyaan asal. Untuk apa al-quran di rehal di dalam perhimpunan itu sebenarnya kerana kamipun memakai kitab yang sama di Kelantan.
Fungsinya berlainan sama sekali. Menteri Besar Kelantan menjadikannya sebagai panduan praktikal dalam pemerintahan dan bukan perhiasan untuk sekadar teman berpidato demi mengelabui mata sesiapa atau bagi lain-lain tujuan kosmetik.

-Petikan harakah daily.

Khamis, 1 November 2007

Hukum Salam Bukan Muhrim


Fatwa al-Qardhawi menjelaskan: (kesimpulan dari fatwa beliau yg panjang dalam isu berjabat salam dgn perempuan, sila rujuk fatwa muasirat beliau, terbitan pustaka salam Jld 5/6)

1. Harus berjabat salam bila bebas dari fitnah. Jika ada fitnah dan unsur berahi, maka ia haram. (maka bersalaman antara lelaki muda dgn perempuan tua yang sudah menopaus kemungkinan bebas dari fitnah dan tiada rangsangan seksualiti)

2. Berjabat salam hendaklah terhad pada keadaan dan keperluan. Contoh sesama keluarga dan menasabah yang diperlukan seperti ketika berlakunya musibah atau kecelakaan yang menimpa.

3. (Tidak memulai terlebih dahulu, maksudnya salam itu dicetuskan oleh orang lain, kita sekadar menyambut utk menjaga maruahnya.)

4. Sentiasa ingat bahawa budaya bersalaman ini bukanlah amalan kaum salaf

5. Hukum bersalaman antara gender ini bukan hukum umum terbuka utk semua orang, ia hanya kepada sesiapa yang terdesak dan memerlukan hukum ini. Ia hendaklah diamalkan dengan waspada..Sekian,,,wslam...

Selasa, 23 Oktober 2007

Album Raya


Di pagi raya..

Di malam raya,bersama ahli bait...
lpas kuar dari umh pecot..nk g mana lak pasni ye..
lpas kuar umh kapan..
diluar umh adib..


Indah langit kerana awan,
Indah laut kerana kebiruan,
Indah Ramadan kerana keinsafan,
Indah Aidilfitri kerana kemaafan,
Dihari raya ini saya memohon kemaafan jika tersilap kata,terkasar bahasa,terpukul,tersepak,terngata,dan segala ter.....
ampun dan maaf sgt dipinta,
Selamat hari raya..moga raya kali ini lebih bermakna bagi kia semua.


SALAM LEBARAN BUAT SEMUA..

Sabtu, 15 September 2007

Ramadhan menilai kekuatan diri








RAMADAN datang lagi. Terasa masa yang terlalu terlalu singkat sejak kehadiran Ramadan tahun lepas. Begitulah berlalunya usia kita. Tahun demi tahun usia bertambah. Ini juga memberi petanda bahawa kita makin menjejaki hujung usia.

Seperti tahun-tahun lepas apakah tahun ini kita membuat persiapan yang rapi menyambut kedatangan Ramadan itu. Sebenarnya di sebalik Allah s.w.t. menciptakan bulan Ramadan yang mulia dan disyariatkan pula amalan berpuasa, terkandung seribu hikmah yang tersirat.

Yang lebih istimewanya, hikmah atau keistimewaan ini bukan manfaat untuk orang lain atau untuk masyarakat umum, malah untuk diri kita sendiri!

Ada orang mentafsir puasa sebagai amalan untuk diet, mengawal pemakanan dan memberi kerehatan kepada tubuh badan khususnya perut setelah 11 bulan bekerja keras iaitu makan tanpa henti ibarat sebuah kilang yang memproses barangan 24 jam tanpa henti.

Sebahagian yang lain pula menterjemah puasa sebagai masa untuk mengenang kesusahan dan penderitaan orang lain. Ada juga yang memahami bahawa puasa ialah bulan untuk beribadat.

Semuanya benar belaka. Tetapi tahukah anda bahawa ada hikmah yang lebih halus dari itu semua yang jarang dapat dinilai orang.

Firman Allah s.w.t.

(ياءيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب علي الذين من قبلكم لعلكم تتقون)

yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Ayat di atas dapatlah disimpulkan bahawa hikmah sebenar ibadah puasa ialah untuk menjadikan kita orang yang bertakwa.

Siapakah orang yang bertakwa? Istilah ini terlalu kerap disebut hingga sudah menjadi satu cliche yang tidak difahami sepenuhnya.

Orang yang bertakwa ialah orang yang taat dan patuh kepada perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangan-Nya dalam setiap tindak tanduk kehidupan.

Soalnya kenapa puasa dipilih menjadi salah satu pintu untuk mencapai darjat takwa? Begitu tinggi sekali fungsi puasa.

Pertama kerana puasa adalah satu-satunya ibadah yang dapat menguji taraf ikhlas seseorang. Ibadah lain seperti solat, membayar zakat, bersedekah, mengerjakan haji, membaca al-Quran, berselawat, berzikir dan sebagainya nampak pada lahirnya. Tetapi puasa tidak dapat dilihat secara zahir.

Bila kita melihat muka seseorang, susah kita mengetahui sama orang itu berpuasa atau tidak. Tidak ada tertulis di dahinya, “Saya sedang berpuasa.” Sedangkan orang yang sedang berpuasa boleh sahaja mencuri makan, minum atau menghisap rokok di luar daripada penglihatan orang ramai. Tiada siapa yang tahu kecuali Allah dan malaikat-Nya.

Kedua puasa menambah keyakinan dan perhubungan hati kita kepada Pencipta atau apa yang diistilahkan sebagai hablum minallah. Hanya orang yang yakin kepada Allah s.w.t. sahaja yang sanggup berpuasa. Kalau bukan kerana Allah mengapa kita mesti bersusah payah berlapar dan dahaga.

Keyakinan kepada Allah ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, an-Nasa’i dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…”

Ketiga, berpuasa dapat merapatkan perhubungan kita sesama manusia atau apa yang diistilahkan sebagai hablum minannas:

1. Melihat kesusahan orang lain menanggung kemiskinan dan kelaparan.

2. Membayar zakat fitrah untuk dibahagikan kepada golongan fakir miskin, anak yatim, mualaf, orang yang berjihad di jalan Allah dan lain-lain yang memerlukan.

3. Berjemaah solat tarawih.

4. Tadarus al-Quran dalam kumpulan.

5. Mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai.

6. Saling menghantar ucapan Selamat Hari Raya melalui kad, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau telefon.

Keempat, mengharapkan ganjaran yang besar dari Allah melalui kedatangan Lailatul Qadar di mana beribadat di malam itu akan diberi ganjaran pahala seperti beribadat 1,000 bulan (lebih 83 tahun).

Untuk memantapkan ganjaran dan harapan ini Allah tidak menetapkan malam-malam tertentu untuk menunggu kedatangan Lailatul Qadar tersebut. Malah ulama berpendapat malam Lailatul Qadar itu adalah:

1. 10 malam akhir yang ganjil bulan Ramadan (malam 21, 23, 25, 27 dan 29)

2. 10 malam akhir bulan Ramadan (malam 21 hingga 29)

3. Keseluruhan bulan Ramadan (1 Ramadan hingga 29 Ramadan)

Lagi sekali keikhlasan memain peranan penting untuk kita beribadat sepanjang bulan Ramadan kepada Allah semata-mata tanpa mengharapkan ganjarannya.

Kelima, bulan Ramadan merupakan pintu untuk merayakan Aidil Fitri iaitu sambutan hari kemenangan umat Islam. Kemenangan dapat ditafsirkan sebagai:

1. Kemenangan menempuh bulan Ramadan yang penuh cabaran dengan berjaya.

2. Kemenangan umat Islam lampau memerangi musuh-musuh Islam.

3. Kemenangan melawan hawa nafsu dan sifat-sifat mazmumah diri.

Keenam, bulan Ramadan ini sebenarnya merupakan bulan latihan di mana Allah melatih manusia untuk menjadi hamba yang bertakwa dengan mengkhususkan ibadat-ibadat tertentu yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain, antaranya:

1. Melatih kita supaya berjinak-jinak dengan masjid dan surau pada waktu malam dengan mensyariatkan solat tarawih dan sunat pula didirikan di masjid secara berjemaah.

2. Membiasakan diri dengan ibadah membaca dan menghafal al-Quran.

3. Melatih diri bangun awal sebelum terbit fajar untuk makan sahur.

4. Melatih diri untuk mudah bersedekah.

Ketujuh, bulan Ramadan merupakan bulan membuktikan bahawa kesan makan minum lahiriah tidak menghindar kita dari terus melakukan pekerjaan harian seperti bekerja, berusaha, berjuang dan berjihad jika keyakinan pada kemampuan diri dan pergantungan kepada Allah kuat. Sesungguhnya usaha diri kita tidak memberi bekas, hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

Jika kita dapat mengambil iktibar dari ketujuh-tujuh hikmah di atas sudah tentulah puasa kita tahun ini berbeza dari puasa kita tahun-tahun yang lalu. Malah kita akan mampu untuk mendatangkan motivasi yang tinggi untuk menjana diri mencapai kecemerlangan yang lebih menonjol

Khamis, 13 September 2007

Doa Ramadan Malaikat Jibril Benarkah ianya wujud?


Setiap kali Ramadhan semakin menjelang, pastinya kita akan menerima dan memberi mesej mengucapkan selamat menyambut ramadan dan ada juga nasihat-nasihat yang boleh kita jadikkan sebagai muhasabah pada diri kita,akan tetapi kita kenalah berjaga-jaga juga kerana dalam kita hendak membuat kebajikan kita juga tidak terlepas dari membuat dosa kerana ketidaktelitian kita atas apa yang telah kita sebarkan, seperti yang telah diforwadkan melalui yahoo mesengger tentang sebuah hadis berkaitan doa Jibril dan diaminkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam serta para Sahabat. Hadis tersebut berbunyi:

Malaikat jibril Menjelang Ramadhan “Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang

tuanya (jika masih ada);

* Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami istri;

* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.” Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak3 kali.

Inilah hadis yang tidak diketahui kesahihannya,adapun terdapat hadis yang mirip dengan hadis yang difowardkan itu. Hadisnya adalah seperti berikut. Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu’anhuma:

:

أن النبي صلى الله عليه وسلم رَقَى المِنبر فَلما رَقَى الدَّرجة الأُولى قال : ( آمِين ) ثُم رَقى الثَانية فَقال : ( آمِينَ ) ثُم رَقى الثَالثة فَقال : ( آمِينَ ) فقالوا : يا رسول الله سَمعنَاك تَقولُ : ( آمينَ ) ثَلاث مَرات ؟ قال : ( لَما رَقيتُ الدَّرجةَ الأُولى جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ، ثُم قَال شَقي عَبدٌ أَدرك والدَيهِ أَو أَحدَهُما فَلم يُدخِلاهُ الجنَّةَ . فَقلتُ : آمينَ . ثُم قَال شَقي عَبدٌ ذُكرتَ عِندهُ ولَم يُصلِ عَليك . فَقلتُ : آمينَ )

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”.

Para sahabat bertanya.”Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.

Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’ “.

Kemudian Jibril berkata lagi.’Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.” [Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad dan dinilai Sahih Lighairihi oleh al-Albani di dalam Sahih Adab al-Mufrad – no: 644]

Ianya seakan-akan sama tetapi matan (isi kandungan) hadis tersebut ternyata berbeza dan hadis ini sememangnya masyhur di dalam kitab-kitab yang membicarakan tentang Ramadhan. Namun kini nampaknya hadis yang tidak diketahui sahih ataupun tidak itu pula telah menjadi lebih terkenal.

Para Sahabat sekalipun pernah hidup di zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, mereka tidak mengamalkan sikap bermudah-mudahan dalam mennyampaikan hadis selepas kewafatan baginda. Mereka sangat teliti dan berhati-hati dan berbeza sekali dengan kita pada hari ini,begitu mudah dan kebanyakkan yang menyebarkan hadis itu sendiri tidak sedar bahawa tidak semua hadis itu sahih (authentic) hanya sekiranya ia menyatakan “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda” atau “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan itu dan ini”terus kita sebarkan siap berserta emoticon senyuman tanpa teliti dan berhati-hati.

Para Sahabat takut menjadi orang yang banyak meriwayatkan hadis dikhuatiri mereka terjerumus ke dalam kesilapan dan kesalahan, hingga akhirnya membawa mereka untuk berdusta ke atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, suatu perbuatan yang amat tercela dan mendapat ancaman yang sangat buruk daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. [Manna’ Khalil al-Qathan, Mabahats Ulumul Hadis (Cara Mudah Memahami Ilmu-Ilmu Hadis), ms. 66]

Ancaman yang dimaksudkan itu adalah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka. [Sahih Muslim – no: 3]


Sekiranya kita tidak pasti apabila menerima suatu hadis, kita ada tiga pilihan:

[1] Menyelidik dan menyemaknya bagi yang berkemampuan.

[2] Bertanya kepada yang lebih mengetahui terutama mengenai ilmu hadis .

[3] Berdiam diri daripada menyebarkannya sekiranya tidak mampu melakukan kedua-dua perkara diatas sehinggalah telah jelas hujah bahawa ianya sahih dan selamat disebarkan.

Contohilah sahabat yang begitu berhati-hati dalam meriwayatkan hadis kerana khuatir terjerumus dalam ancaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.Ingatlah Firman Allah Subhana wa Ta’ala:

ووَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُول

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [al-Isra’ 17:36]

Selasa, 4 September 2007

Kubur Tidak Kira Darjat


Dikisahkan bahwa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antaranya :- 1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a) 2. Hasan (anak Fatima r.a) 3. Husin (anak Faimah r.a) 4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a.


Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah S.A.W."

Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya:-
1.Hendaklah ia menjaga solatnya
2.Hendaklah dia bersedekah
3.Hendaklah dia membaca al-Quran
4.Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah:-
1.Jangan berdusta
2.Jangan mengkhianat
3.Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4.Jangan kencing sambil berdiri.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing." Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah.

Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahwa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah! mudah saja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya." Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran.

Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.

Wassalam

Jumaat, 31 Ogos 2007

Pindah blog..

Assalamualaikum sahabat pena sekalian,moga sentiasa mendapat naungan dari Allah S.W.T,insyallah.Kekeyangan perut kerna baru pulang dari kenduri dirumah Ust.Sakini bukanlah penghalang untuk ana mencoret sedikit cerita dilaman nurcahayamu ini.Syukur kehadrat ilahi kerana rezeki-Nya tadi ana makan nasi pilaf yang dimasak ust.Sakini.Sedap masakanya,moga Allah murahkan rezeki ahli bait ust Sakini.
Sebenarnya ana baru sahaja pindah laman blog dari laman wordpress ke laman blogspot ini,bukanlah tidak bagus menggunakan wordpress akan tetapi payah dan rasa kelam sedikit suasana blog nye dan melihat ketidakupayaan ana untuk menggeledah lebih lagi tentang wordpress maka ana menggunakan kembali blogspot.
Insyallah akan datang jika ana sudah pandai menggunakan laman blog lain,ana akan mencuba lagi,selagi ada masa kita dihadapan buah hati ketiga ini,selagi itulah kita gunakan dengan betol.Tidak rugi rasanya kalau kita mencuba benda-benda baru asalkan ianya tidak melanggar syariat islam.Dan sebenarnya ada sahaja ilmu baru yang kita akan dapat jika kita banyak mencuba.
Jadi selepas ini ana akan hanya menggunakan blog ini sehinggalah ada ilham datang untuk mencuba blog lain.Sekian tinggalkanlah komen atau teguran membina sahabat di shout box untuk ana mempertingkatkan diri ana yg lemah ini.Mata pon sudah kuyu,bantal sudah memanggil-manggil namaku untuk lena diatasnya,moga mimpi indah menantku disana.Wassalam...

Malaysia Negara Islam?


Negara Malaysia adalah sebuah negara islam seperti mana yang telah diletakkan dalam perlembagaan yang menyatakan ianya ialah agama bagi persekutuan,ia seolah-olah menganggap negara ini sudah diberi nyawa dan dimanusiakan sebagai seorang Islam. Seperti seorang beragama Islam, sejauh mana kekuatan keislamannya bergantung pula kepada sebanyak mana pelaksanaannya kepada peruntukan agama itu sendiri.

Apabila bercakap mengenai negara Islam kita tidak dapat lari daripada membincangkan takrifan yang dibawa ulama. Umpamanya Syeikh Muhammad Abu Zuhrah membahaskan kedudukan negara Islam berlegar antara dua pandangan iaitu, pertama, sebuah negara yang menjalankan hukum-hakam dan undang-undang syariah secara menyeluruh, maka negara itu adalah negara Islam. Jika sebaliknya yang berlaku, maka negara itu tidak boleh dianggap negara Islam.

Pandangan kedua, merujuk kepada keamanan orang Islam dan kekuasaan pentadbiran mereka.

Jika orang Islam memegang tampuk pemerintahan dan menjadi pemimpin dalam negara dan seluruh masyarakat hidup dengan aman dalam negara itu, maka negara adalah negara Islam.

Menurut Ibnu Qayyim, majoriti ulama Islam berpendapat negara Islam ialah negara yang diduduki orang Islam, berjalan padanya undang-undang syariah dan selagi mana tidak berjalan padanya hukum-hakam Islam maka ia bukanlah negara Islam.

Al-Kasani pula menyebut sebuah negara dikatakan negara Islam jika zahir iaitu jelas kelihatan Islam di dalamnya dan yang dimaksudkan zahir Islam itu ialah zahir hukum-hakamnya.

Al-Sarakhsi pula berpendapat, negara Islam ialah nama bagi suatu tempat atau kawasan yang berada di bawah kekuasaan orang Islam di mana semua penduduk beroleh keamanan dan ketenteraman berada di dalamnya. Ini menunjukkan perkara yang menjadi sandaran membezakan antara negara Islam atau negara lainnya ialah kekuasaan atau pemerintahan dan perjalanan hukum-hakam/undang-undang.

Jelas berdasarkan takrifan di atas bahawa ada pendapat bersifat umum, ada pula yang terperinci dan lebih ketat. Pandangan majoriti melihat kepada pelaksanaan undang-undang syariah sebagai asas untuk meletakkan sesebuah negara dianggap Islam.

Pendapat yang bersifat umum melihat kepada siapa yang memerintah dan apakah wujud undang-undang syariah, dan jika tidak, apakah ada tanda syiar Islam dilaksanakan dalam sesebuah negara. Jika ada dan masyarakat hidup dalam harmoni serta aman, ia juga termasuk dalam istilah negara Islam.

Bagaimana pula kedudukan Malaysia berdasarkan peruntukan Perlembagaan yang ada?

Dari sudut perlembagaan dan undang-undang yang berkuatkuasa, jelas bahawa undang-undang Islam tidak sepenuhnya dilaksana di Malaysia.

Terdapat juga undang-undang yang membenarkan apa yang dilarang oleh syariah Islam. Dalam hal demikian kita mungkin tersasar jika menyatakan Malaysia adalah sebuah negara Islam sepenuhnya seperti ditakrifkan oleh ulama.

Islam masih lagi belum diamalkan sebagai ‘addin’ atau cara hidup di Malaysia. Namun sebagai negara majoritinya umat Islam, usaha ke arah itu sedang giat dilakukan pelbagai pihak termasuklah oleh kerajaan.

Contohnya, di Jabatan Peguam Negara sudah ditubuhkan sebuah seksyen yang dinamakan Seksyen Syariah. Seksyen Syariah ini akan memantau semua rang undang-undang yang bakal dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Seksyen ini akan mengkaji aspek syariah rang undang-undang berkenaan. Tidak cukup dengan pegawai di jabatan itu, seksyen ini juga dibantu oleh ulama, NGO Islam, ahli akademik dan lain-lain melalui sebuah jawatankuasa yang dinamakan Komuniti Syariah, Jabatan Peguam Negara Malaysia.

Dalam hal demikian, rang undang-undang yang diluluskan nanti tidak semestinya membawa nama Islam tetapi semangat dan inti patinya dapat digarap selaras dengan hukum syarak.

Sistem perundangan di Malaysia adalah berteraskan prinsip demokrasi berparlimen. Sistem ini mengasingkan tiga fungsi utama iaitu eksekutif, undang-undang dan kehakiman. Idealnya ketiga-tiga cabang perundangan ini sepatutnya memainkan peranan melengkapkan antara satu sama lain.

Sistem perundangan seperti ini tidak semestinya bertentangan dengan syariah Islam. Pada masa sama, kita perlu jelas bahawa segala undang-undang termasuk undang-undang Islam perlu dikodifikasi dan diluluskan oleh badan perundangan sebelum ia boleh dilaksanakan di negara ini.

Malaysia adalah negara umat Islam dan warga bukan Islam tidak ditindas daripada mengamalkan agama mereka. Malah, dalam banyak keadaan kerajaan memberikan perhatian yang lebih kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia. Masyarakat bukan Islam pula harus akur kedudukan istimewa Islam yang sudah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia adalah sebuah negara berteraskan demokrasi berparlimen dan kerajaan yang dipilih perlu memberi keistimewaan kepada agama Islam selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Andaiku Tahu..

Andai ku tahu
Kapan tiba ajalku
Ku akan memohon Tuhan
Tolong panjangkan kakiku

Andai ku tahu
Kapan tiba masaku
Ku akan memohon Tuhan
Jangan kau ambil tanganku

Aku takut akan semua dosa dosaku
Aku takut dosa yg terus menghantuiku

Andai ku tahu
Malaikat-Mu kan menjemputku
Izinkan aku mengucap kata taubat pada-Mu

Aku takut akan semua dosa dosaku
Aku takut dosa yg terus menghantuiku

Ampuni aku dari segala dosa dosaku
Ampuni aku menangis ku bertaubat pada-Mu
Aku manusia yang takut neraka
Namun aku juga tak pantas di surga

Andai ku tahu
Kapan tiba ajalku
Izinkan aku mengucap kata taubat pada-Mu

Aku takut akan semua dosa dosaku
Aku takut dosa yg terus menghantuiku

Ampuni aku dari segala dosa dosaku
Ampuni aku menangis ku bertaubat pada-Mu

Mari Kita Renungkan..









Sesekali kita perlu derita,
Sesekali kita perlu kecewa,
Untuk kita mengerti erti bahagia,
Unuk kita mengerti erti berjaya,

Sesekali kita perlu menangis,
Sesekali kita perlu terhiris,
Untuk kita mensyukuri nikmat yang diberi,
Untuk kita mengenal diri sendiri,

Ujian yang datang menguji kesabaran,
Perlu keimanan&ketakwaan,
Sebagai hamba kepada Tuhan,
Kita harus bertahan ,

Jalan keSYURGA penuh likuanya
Penuh dugaan&rintanganya,
Hanya yang cekal&tabah,
Pasti akan menemuinya,

Masihkan lagi mahu menghitung,
Setitis MEHNA-NYA
Jika dibandingkan dengan selaut,
Rahmat&Nikmatnya,
Seharusnya kita bersyukur,
Dan berlabang dada ,

Itulah tanda Kasih Sayang ALLAH,
Kerana kita sering terlupa
Pohonkan doa kepada ALLAH,
Agar kita beroleh keredhaanNya

Solat Menghapus Kegelisahan DiHati







Diceritakan pada zaman dahulu,bahawa seorang lelaki berjalan jalan di malam hari,ia melihat sekumpulan tentera sedang memeriksa jalan,dalam pemikirannya kalau dia berlalu di sekumpulan tentera itu sudah pasti dia akan dikenakan berjenis macam persoalan,lalu dia lari bersembunyi dibanggunan yang roboh untuk bersembunyi.

Seketika itu,tidak disangka-sangka sekumpulan tentera datang menggeledah ketempat persembunyiannya lalu menemui lelaki tersebut dalam masa yang sama menemukan seorang yang telah terbunuh.

Jadi lelaki itu dihadapkan pada hakim,segala bukti mengisyaratkan dialah pembunuhnya,lantas si lelaki tersebut meminta kepada hakim diberi kesempatan untuk berwuduk dan bersolat dua rakaat kepada ALLAH yg maha mengetahui.Hakim mengkabulkan permintaanya dan menangguhkan sidang.Kemudian lelaki tersebut solat dan berdoa kepada Allah.Didalam doanya iaitu,”Ya Allah Sesunnguhnya Engkau mengetahui bahwa tiada saksi untuku menyatakan ketidak- kesebersalahan ku,hanya Kau sahaja saksiku,dan Engkau meminta kepada kami orang beriman untuk tidak merahsiakan kesaksian,maka aku memohon kepada mu,pada Zat Mu ya ALLAH.Lelaki tersebut benar benar yakin dengan ketentuaan ALLAH,dan hanya ALLAH sahaja yang dapat membantunya.

Seusai itu pembicaraan bersidang kembali,dan tiba-tiba seorang lelaki masuk kehadapan hakim seraya berkataAKULAH PEMBUNUHNYA’.

Hakim terkejut dan bertanya kepada lelaki yang baru datang”mengapa kamu mengaku kamulah pembunuhnya?sedangkan tiada seorang pon yang melihat kamu yang membunuhnya? lalu si pembunuh menjawab,Demi ALLAH aku tidak mengakui,tapi ada suara tanpa rupa menggerakkan lisanku untuk mengucapkan apa yg aku katakan tadi”

Cerita diatas menunnjukkan mutlakknya Kekuasaan ALLAH. Jadi ALLAH Maha Kuasa yang tidak berkehendakkan apa yg sipembunuh tidak mahu,dan berkehendakkan apa yang silelaki itu mahu,(انا اريد,وانت اريد,ولكن الله يفعلوا ما يريد).Orang yang terzalimi terbebas kerana bersolat dua rakaat seperti mana yang telah diajar oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.Rasulullah akan bersolat sunat setiap kali ditimpa persoalan.

Ketika manusia bersimpuh dihadapan Nya,dan bermunajat kepada Nya,maka hanya Dia satu-satunya Maha Kuasa yang akan memberi jalan keluar baginya. Ini kerana kita berada dalam genggaman-Nya,kita berbuat sesuatu sekehendakNya,tiada yang dapat membantah hukumNya dan tiada yang dapat menolak keputusaNya.

Kita harus meyakini dan mensucikan kembali niat dalam setiap kali kita memohon padaNya,dan kita kenalah banyak bersimpuh dihadapan Nya. Sesungguhnya solat mempunyai peranan yang amat besar dalam kehidupan seorang muslim, sabda Rasulullah dalam mafhumnya,Yang membezakan umatku dengan kafir adalah solat. Inilah satu-satunya fardhu yang difardhukan secara langsung dari ALLAH kepada junjungan kita S.AW. pada malam ISRA’ MIKRAJ.

Wallahualam…….

30 Larangan Untuk Wanita

Assakamualaikum w.b.t,


Wanita adalah idaman bagi setiap lelaki. Lemah-lembut, sopan-santun adalah sifat semulajadi yang ada setiap wanita. Ia juga menjadi satu daya penarik bagi kaum Adam yang inginkan belaian kasih sayang dari seorang yang benar-benar memahami segala kehendak dan keinginan di kala kesepian. Islam tidak menyekat kaum wanita dalam melibatkan diri dalam apa jua aktiviti namun ada batasannya yang mana perlu diambil kira agar tidak bercanggah dengan syariat Allah S.WT.

30 LARANGAN UNTUK WANITA…

1. Menyambung rambut palsu
2. Bertatu, mencabut bulu wajah dan mengikir gigi
3. Keluar rumah dengan memakai minyak wangi
4. Memperlihatkan perhiasan(bersolek) di depan lelaki lain
5. Menolak panggilan suami untuk tidur bersama
6. Membuka rahsia hubungan suami isteri
7. Berpuasa sunat tanpa izin suami
8. Membelanjakan harta suami, tanpa izin suami
9. Derhaka kepada suami
10. Meminta cerai tanpa sebab yang jelas
11. Mengingkari kebaikan suami
12. Bersama lelaki lain yang bukan mahram
13. Memandang lelaki yang bukan mahramnya
14. Bersalaman dengan lelaki bukan mahram
15. Menyerupai lelaki

16. Membuka rahsia wanita lain kepada suami
17. Memandang aurat wanita lain
18. Keluar rumah tanpa ada keperluan
19. Masuk permandian awam
20. Mencakar-cakar tubuh ketika dapat musibah
21. Meratapi kematian
22. Berhias atas meninggalnya seseorang
23. Menghantar jenazah
24. Mempercayai dukun dan peramal
25. Menyumpah anak-anak sendiri
26. Tidak bertegur sapa dengan sesama muslim
27. Menganiaya pembantu
28. Mengganggu jiran
29. Minta cerai kerana suami sakit
30. Minta cerai kerana suami menikah lagi

Khamis, 30 Ogos 2007

Hayatilah..










Wahai insan yang berbudi,
Marilah kita sama berdiri,
Menegak Islam Agama sejati,
Asalkan ALLAH tahu NEAR dihati,
Bukan mengata@membenci
,
Cuma mahu korang hayati,
Hidup didunia tak hakiki,
Hanya ALLAH yang kekal abadi,
Ingatlah wahai wanita sejati,
Seluk poket cerminlah diri,
Bukan menghina @mengeji,
Ingatlah maruah tak boleh dijual beli,
Hayatilah wahai insan bistari,
Janganlah sampai termakan budi,
Tergadai body,
Fikirlah sendiri untuk diinsafi…

Hukum Menonton Wayang

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah ditanyakan mengenai hukum menonton filem di pangung wayang, jawab beliau :

لا شك أن (السينما) وما ماثلها أداة هامة من أدوات التوجيه والترفيه، وشأنها شأن كل أداة فهي إما أن تستعمل في الخير أو تستعمل في الشر، فهي بذاتها لا بأس بها ولا شيء فيها، والحكم في شأنها يكون بحسب ما تؤديه وتقوم به.
وهكذا نرى في السينما: هي حلال طيب، بل قد تستوجب وتطلب إذا توفرت لها الشروط الآتية:

“Tidak syak lagi bahawa panggung wayang merupakan satu alat dari alat-alat pengarahan(directing) dan hiburan(entertainment), maka hal-ehwal (aktiviti) setiap alat ini dilihat samada digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Maka ia diterima, dan tidak adalah masalah keatasanya. Maka hukum aktivitnya adalah menurut apa ia ambil dan lakukannya.

Dengan itu kami berpendapat bahawa pangung wayang : adalah halal dan baik, akan tetapi ia memerlukan dan meminta agar syarat yang dinyatakan wujud”

Syarat-syaratnya :-

1. Tajuk dan isinya tidak boleh bertentangan dengan Aqidah Islam, Akhlak dan Syariah. Ia tidak boleh mengandungi unsur seks, mengajak kepada jenayah, ajaran sesat dsbnya.

2. Menonton wayang tidak menghalang seseorang itu dari melakukan perkara wajib, seperti solat 5 waktu. Tidak boleh seseorang itu meninggalkan solat wajib, contohnya Maghrib semata-mata untuk menonton wayang. al-Quran memberi amaran keras kepada sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah.

3. Elak dari bergaul diantara lelaki dan perempuan yang ajnabi (orang luar), elak dari fitnah dan juga bersyubhat, lebih-lebih lagi menonton didalam keadaan gelap.
——–

Jika syarat ini dapat dipatuhi, maka menonton wayang tidaklah di larang. Dr Ahmad Syarabasi mengatakan bahawa ia boleh dijadikan untuk memunafaatkan umat keseluruhannya, seperti menegakkan agama dan menunjukkan akhlak yang baik. Ada juga yang menyalah gunakannya yang boleh menggalakkan jenayah, seks, tekanan psikologi, etika dan korupsi sosial didalam masyarakat.

Sekian, wassalam

===========
1. Fatwa al-Qaradhawi - http://www.qaradawi.net/site/topics/printArticle.asp?cu_no=2&item_no=3589&version=1&template_id=232&parent_id=17

2. Fatwa Dr Ahmad Syarabasi - http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar/FatwaE/FatwaE&cid=1119503544786

al-ahkam

Sekian..

Bagaimana Untuk Lebih Kreatif?

Manusia memerlukan daya kreativiti yang tinggi untuk maju. Lebih menarik lagi, sesiapa sahaja boleh melakukan latihan-latihan tertentu secara konsisten bagi meningkatkan daya kreativiti mereka. Dengan latihan-latihan ini anda akan dapati diri anda menjadi lebih kreatif dan anda mampu menyumbang pelbagai ide yang tidak pernah anda fikirkan selama ini. Ide-ide ini mungkin menjadi penyebab kejayaan anda untuk lebih berjaya dalam karier, pergaulan, bisnes dan sebagainya.

Langkah-langkah yang anda perlu ambil dari sekarang:

  1. Berani lakukan perubahan. Jangan takut untuk mencuba pelbagai pendekatan baru dalam melakukan sesuatu yang biasa anda lakukan. Tidak semestinya pendekatan baru anda ini lebih baik tetapi sekurang-kurangnya anda melatih minda anda untuk berani lakukan perubahan. Minda anda akan lebih fleksibel terhadap sesuatu perkara dan membuka peluang untuk anda lihat sesuatu perkara itu dari pelbagai sudut pandangan. Misalnya, cuba pelbagaikan jalan yang biasa anda ambil untuk ketempat kerja; setiap kali sembahyang Jumaat, pergi ke masjid yang berbeza; ubah dari semasa ke semasa kedudukan perabut di rumah atau di pejabat anda; ubat kegemaran anda menulis dalam satu-satu format, fonts, warna dan sebagainya; apabila ke restoran cuba minta minuman yang lain dari kebiasaan anda; fikirkan pendekatan baru atau stategi baru dalam satu-satu permainan; dan lain-lain. Yang penting disini ialah biasakan diri anda untuk berani lakukan perubahan.

  2. Suburkan setiap ide baru. Ramai orang yang mempersendakan ide-ide yang kurang matang atau kurang bernas. Tetapi tidakkah anda sedar banyak kejayaan yang dicapai hari ini bermula dari ide yang tidak masuk akal? Wright Brothers dikatakan gila apabila mereka kata besi boleh terbang. Edison dicemuh apabila dia kata malam boleh menjadi terang. Kini terbukti ide-ide gila merekalah yang membawa kemakmuran dalam hidup kita kini. Oleh itu, jangan diracuni setiap ide. Mungkin apabila ide tersebut dicanai ia membawa suatu impak yang besar dan pembaharuan dalam hidup. Kaji setiap ide sebelum ia diketepikan. Meskipun terbukti ide tersebut tidak membawa faedah, namun pengalaman berfikir yang telah anda libatkan membawa makna besar dalam kejayaan selepas itu. Ide atau cetusan ilham ada ketikanya datang secara tiba-tiba dalam masa hanya beberapa saat. Jangan tertipu dengan berkata yang anda akan menulisnya kemudia kerana anda pasti lupa tentang ide itu akibat kesibukan kerja, atau terfikir sesuatu perkara yang lain, atau anda sendiri berkata ide itu tidak bagus. Mulai hari ini pastikan anda sentiasa membawa buku kecil kemana-mana sahaja anda pergi. Catatkan setiap ide, tanpa menilai, ke dalam buku kecil itu. Berikan masa untuk anda fikirkan ide tersebut setelah anda tenang.

  3. Bina kebolehan meniru dan mengubahsuai. Hari ini, agak sukar untuk anda menemui ide-ide yang baru dan unik. Kebanyakan ide baru anda datangnya daripada gabungan pelbagai ide yang telah wujud sekeliling anda. Ada pendapat yang mengatakan, sekiranya anda mampu mengubahsuai 10% sahaja apa yang telah orang lain hasilkan maka cukup untuk anda menjadi kaya raya. Pastikan pengubahsuaian ini tidak melanggar hak cipta atau paten yang telah didaftarkan oleh orang lain.

  4. Bina kreativiti anda apabila ada masa lapang. Gunakan masa lapang anda untuk mengasah minda kepada aktiviti yang merangsang daya kreativiti anda. Sekiranya senaman dan riadah yang anda lakukan dimasa lapang banyak membantu kecergasan anda ditempat kerja (atau sekolah) begitulah juga dengan minda. Aktiviti minda yang anda lakukan dimasa lapang akan membantu kecerdasan minda anda ditempat kerja atau sekolah. Contohnya, gunakan masa lapang untuk teka-teki, permainan chess, “puzzles”, melukis, kraftangan, fotografi dan sebagainya.

  5. Amalkan sikap ingin tahu dan suka menyelidik. Jangan sekadar berpuashati dengan apa yang ada disekitar anda, tidak ada satu pun yang sempurna. Setiap ciptaan manusia yang anda lihat pasti ada cacatnya. Sikap suka menyelidik ini membolehkan anda mendapat ide-ide baru bagi menghasilkan sesuatu yang lebih baik dari yang sedia ada. Tanyakan diri anda dengan soalan-soalan seperti Apa? Kenapa? Bila? Bagaimana? Setiap kali ada orang yang mengatakan yang sesuatu itu tidak boleh dibuat (atau tidak boleh dicapai), tanyakan soalan ini, “Kenapa tidak?”. Binakan sikap suka bertanya. Tidakkah anda sedar anak kecil yang banyak bertanya itu lebih bijak daripada anak kecil yang sekadar diam. Begitulah juga dengan kita.

Dengan mengamalkan saranan di atas dalam kehidupan harian anda, anda akan dapati banyak perkara baru dan menarik yang bakal ditemui setiap hari. Minda anda menjadi lebih kreatif. Anda lebih kritikal. Tidak mudah menerima mentah-mentah sesuatu itu dan berani pula hadapi perubahan.