Blogger Backgrounds

Pages

Sabtu, 15 September 2007

Ramadhan menilai kekuatan diri








RAMADAN datang lagi. Terasa masa yang terlalu terlalu singkat sejak kehadiran Ramadan tahun lepas. Begitulah berlalunya usia kita. Tahun demi tahun usia bertambah. Ini juga memberi petanda bahawa kita makin menjejaki hujung usia.

Seperti tahun-tahun lepas apakah tahun ini kita membuat persiapan yang rapi menyambut kedatangan Ramadan itu. Sebenarnya di sebalik Allah s.w.t. menciptakan bulan Ramadan yang mulia dan disyariatkan pula amalan berpuasa, terkandung seribu hikmah yang tersirat.

Yang lebih istimewanya, hikmah atau keistimewaan ini bukan manfaat untuk orang lain atau untuk masyarakat umum, malah untuk diri kita sendiri!

Ada orang mentafsir puasa sebagai amalan untuk diet, mengawal pemakanan dan memberi kerehatan kepada tubuh badan khususnya perut setelah 11 bulan bekerja keras iaitu makan tanpa henti ibarat sebuah kilang yang memproses barangan 24 jam tanpa henti.

Sebahagian yang lain pula menterjemah puasa sebagai masa untuk mengenang kesusahan dan penderitaan orang lain. Ada juga yang memahami bahawa puasa ialah bulan untuk beribadat.

Semuanya benar belaka. Tetapi tahukah anda bahawa ada hikmah yang lebih halus dari itu semua yang jarang dapat dinilai orang.

Firman Allah s.w.t.

(ياءيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب علي الذين من قبلكم لعلكم تتقون)

yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Ayat di atas dapatlah disimpulkan bahawa hikmah sebenar ibadah puasa ialah untuk menjadikan kita orang yang bertakwa.

Siapakah orang yang bertakwa? Istilah ini terlalu kerap disebut hingga sudah menjadi satu cliche yang tidak difahami sepenuhnya.

Orang yang bertakwa ialah orang yang taat dan patuh kepada perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangan-Nya dalam setiap tindak tanduk kehidupan.

Soalnya kenapa puasa dipilih menjadi salah satu pintu untuk mencapai darjat takwa? Begitu tinggi sekali fungsi puasa.

Pertama kerana puasa adalah satu-satunya ibadah yang dapat menguji taraf ikhlas seseorang. Ibadah lain seperti solat, membayar zakat, bersedekah, mengerjakan haji, membaca al-Quran, berselawat, berzikir dan sebagainya nampak pada lahirnya. Tetapi puasa tidak dapat dilihat secara zahir.

Bila kita melihat muka seseorang, susah kita mengetahui sama orang itu berpuasa atau tidak. Tidak ada tertulis di dahinya, “Saya sedang berpuasa.” Sedangkan orang yang sedang berpuasa boleh sahaja mencuri makan, minum atau menghisap rokok di luar daripada penglihatan orang ramai. Tiada siapa yang tahu kecuali Allah dan malaikat-Nya.

Kedua puasa menambah keyakinan dan perhubungan hati kita kepada Pencipta atau apa yang diistilahkan sebagai hablum minallah. Hanya orang yang yakin kepada Allah s.w.t. sahaja yang sanggup berpuasa. Kalau bukan kerana Allah mengapa kita mesti bersusah payah berlapar dan dahaga.

Keyakinan kepada Allah ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, an-Nasa’i dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…”

Ketiga, berpuasa dapat merapatkan perhubungan kita sesama manusia atau apa yang diistilahkan sebagai hablum minannas:

1. Melihat kesusahan orang lain menanggung kemiskinan dan kelaparan.

2. Membayar zakat fitrah untuk dibahagikan kepada golongan fakir miskin, anak yatim, mualaf, orang yang berjihad di jalan Allah dan lain-lain yang memerlukan.

3. Berjemaah solat tarawih.

4. Tadarus al-Quran dalam kumpulan.

5. Mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai.

6. Saling menghantar ucapan Selamat Hari Raya melalui kad, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau telefon.

Keempat, mengharapkan ganjaran yang besar dari Allah melalui kedatangan Lailatul Qadar di mana beribadat di malam itu akan diberi ganjaran pahala seperti beribadat 1,000 bulan (lebih 83 tahun).

Untuk memantapkan ganjaran dan harapan ini Allah tidak menetapkan malam-malam tertentu untuk menunggu kedatangan Lailatul Qadar tersebut. Malah ulama berpendapat malam Lailatul Qadar itu adalah:

1. 10 malam akhir yang ganjil bulan Ramadan (malam 21, 23, 25, 27 dan 29)

2. 10 malam akhir bulan Ramadan (malam 21 hingga 29)

3. Keseluruhan bulan Ramadan (1 Ramadan hingga 29 Ramadan)

Lagi sekali keikhlasan memain peranan penting untuk kita beribadat sepanjang bulan Ramadan kepada Allah semata-mata tanpa mengharapkan ganjarannya.

Kelima, bulan Ramadan merupakan pintu untuk merayakan Aidil Fitri iaitu sambutan hari kemenangan umat Islam. Kemenangan dapat ditafsirkan sebagai:

1. Kemenangan menempuh bulan Ramadan yang penuh cabaran dengan berjaya.

2. Kemenangan umat Islam lampau memerangi musuh-musuh Islam.

3. Kemenangan melawan hawa nafsu dan sifat-sifat mazmumah diri.

Keenam, bulan Ramadan ini sebenarnya merupakan bulan latihan di mana Allah melatih manusia untuk menjadi hamba yang bertakwa dengan mengkhususkan ibadat-ibadat tertentu yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain, antaranya:

1. Melatih kita supaya berjinak-jinak dengan masjid dan surau pada waktu malam dengan mensyariatkan solat tarawih dan sunat pula didirikan di masjid secara berjemaah.

2. Membiasakan diri dengan ibadah membaca dan menghafal al-Quran.

3. Melatih diri bangun awal sebelum terbit fajar untuk makan sahur.

4. Melatih diri untuk mudah bersedekah.

Ketujuh, bulan Ramadan merupakan bulan membuktikan bahawa kesan makan minum lahiriah tidak menghindar kita dari terus melakukan pekerjaan harian seperti bekerja, berusaha, berjuang dan berjihad jika keyakinan pada kemampuan diri dan pergantungan kepada Allah kuat. Sesungguhnya usaha diri kita tidak memberi bekas, hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

Jika kita dapat mengambil iktibar dari ketujuh-tujuh hikmah di atas sudah tentulah puasa kita tahun ini berbeza dari puasa kita tahun-tahun yang lalu. Malah kita akan mampu untuk mendatangkan motivasi yang tinggi untuk menjana diri mencapai kecemerlangan yang lebih menonjol

0 komen: