Apa yang paling menarik perhatian rakyat yang peka mengenai Islam di sepanjang Perhimpunan Agung Umno tempoh hari mungkin cuma satu perkara iaitu terdapatnya al-quran yang dihiasi di atas rehal
Bagaikan bahan pemujaan, adakah kehadirannya di situ sekadar perhiasan? Adakah Al-Quran diletakkan kerana ia adalah perlembagaan hidup yang diperjuangkan sebuah parti kebangsaan? Atau, ia sekadar mahu mengelirukan perwakilan supaya beranggapan bahawa Umno yang sekularpun kadang-kadang mahu juga kepada Islam.
Itupun mengikut keadaanlah. Sesuai, dipakai atau jika tidak, disimpan.
Di dalam al-quran, kita ada ajaran mengenai beriman kepada Allah dan Rasul. Kita diharam melakukan syirik. Kita wajib percaya kepada alam ghaib. Kita digesa beriman kepada adanya malaikat. Kita mesti beriman dengan pembalasan akhirat dan beriman dengan qadha dan qadhar.
Dalam al-quran, ada qisah dan sejarah. Ada berita tentang kezaliman Narud dan Firaun yang menindas kebenaran ajaran wahyu yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan Musa.
Dalam kitab suci yang amat kita kasihi ini ada menukilkan perjalanan hidup Rasulullah SAW; kelahirannya, Israk Mikrajnya, kegemilangan akhlaknya, pelantikan kenabiannya, pengkhianatan dan pemboikotan terhadap Bani Hashim dan Bani Muthalib, peristiwa hijrah, usaha membina masyarakat Islam di Madinah melalui Sahifah Madinah, peristiwa Bai'atur Ridhwan yang akhirnya membawa kepada pembukaan Kota Makkah.
Di sana ada persoalan perang dan damai, pengurusan ekonomi, penyediaan bajet untuk fakir miskin dan orang yang terikat dengan hutang. Semuanya sarat dengan contoh dan teladan untuk dilaksanakan. Islam di gambarkan melalui al-quran dalam satu kerangka Deen yang lengkap melalui sirah dan perjalanan hidup Nabi s.a.w. yang teliti, diterjemahkan dalam segenap gerak diam dari setiap detik tingkah laku di sepanjang 23 tahun tempoh kerasulan.
Apa yang tersangat mustahak diperhatikan ialah Islam bawaan junjungan kita didasarkan kepada panduan al-quran sepenuhnya. Tanpa sejanggut udang, Nabi kita tidak pernah berkompromi dengan budaya dan cara hidup jahiliyah tinggalan nenek moyang Abu Lahab dan Abu Jahal. Islam sentiasa tegap berdepan dengan pokok jahiliyah dari pucuk, daun, ranting, dahan, batang , akar ke umbi.
Susulan pertanyaan selanjutnya ialah apa sikap Umno terhadap Islam sejati, yang dibawa oleh para Rasul, nabi-nabi dan wali-wali zaman berzaman sehingga sudah mulai pandai mengusung al-quran kedalam perhimpunan agungnya buat pertama kali?
Dengan meletakkan al-quran di hadapan, mari kita ke makmal minda sekejap untuk menguji kejujuran. Apa pandangan Umno mengenai usaha mengalih aqidah Islam dan meletakkan Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Memiliki Kerajaan dan Maha Menentukan segala Undang-Undang dan menukar gantikannya dengan faham kebangsaan?
Apa pandangan Umno sampai seolah-olah berani meletakkan Allah tidak berfungsi? Apa pandangan Umno mengenai tauhid dan syirik? Apa pandangan Umno mengenai murtad dan mulhid. Apa pandangan Umno mengenai tudung dan aurat? Apa pandangan Umno mengenai arak dan judi? Apa pandangan Umno mengenai amalan menolak hudud dan menyamannya?
Apa pandangan Umno mengenai amalan menerima sebahagian dari kitab dan menolak sebahagian darinya? Rasuah dan penyalahgunaan kuasa? Menyekat bantuan SAR. Pengundi hantu? Adanya dua senarai pemilih? Undi pos?
Di tengah-tengah kekeliruan haluan yang digambarkan oleh amalan pucuk pimpinannya itulah, rakyat mempunyai syak yang kuat perihal terdesaknya Umno untuk mendapatkan sokongan. Banyak pihak beranggapan, oleh kerana kepimpinan Umno terkini sudah terhakis keyakinannya dari hati masyarakat Tionghua, Siam dan India, mereka mula cuba mahu dirinya dilihat sebagai pembela kepada masyrakat Islam pula yang berbangsa Melayu.
Maka, antara kucup keris dan al-quran yang dihiasi di rehal, pemimpin Umno cukup dilihat serba salah dan amat kelakar ketika menghunus keris. Sambil mengacah-acah rata itu, 'dia' cuba cuba pula mendakwa bahawa keris Melayunya itu adalah untuk membela orang Melayu dan non-Melayu. Pulak!
Menyentuh tentang keris, PAS tiada cadangan untuk berperang dengan sesiapa. Kami menghormati, ia sekadar sejenis senjata pesaka kesayangan orang Melayu. Tidak terlalu terbawa-bawa dengan mitos kekeramatan keris, PAS cuma serius memikirkan bagaimana lisan dan tulisan boleh berdakwah.
Seperti yang sering disebut oleh Mursyidul Am PAS, kita ini datang dari keturunan yang sama. Sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan dan Siam, kita dari Adam yang satu. Islam berkembang bukan dengan mata keris dan pedang tetapi dari kepetahan dan kelembutan lisan dan tulisan sejak dari dahulu. Di sini, Umno tidak akan mampu memahami hikmah dan kepentingan perpaduan kerana 'dia' sendiri bertolak dari pengkalan faham kebangsaan yang menolak Islam. Dia keliru dengan keris yang digenggamnya sejak dari awal-awal lagi. Ini yang sekejap hunus, sekejap kucup nih!
Kemudian, dengan penuh tidak cermat, pemimpin Umno sering menakut-nakutkan pula rakyat tentang bahaya Islam yang boleh memecah belah. Tidakkah Islam itu sendiri adalah satu gagasan perpaduan terbesar berasaskan kesatuan dan perpaduan tauhid.
Mustahil Allah SWT yang bersifat Maha Bijaksana; mencipta manusia dan ugama yang diredaiNya dalam sistem hidup Islam yang lengkap tetapi tiba-tiba pula boleh membawa bahaya dan memecah belahkan perpaduan kaum ?
Contoh unggul yang boleh dirujuk dari sejarah Islam ada terpahat melalui kelahiran tiga tokoh besar generasi sahabi yang bernama Salman Al-Farisi(Farsi), Bilal Al-Habashi (Habshah) dan Suhil ibn Rumi (Rom) yang boleh hidup penuh rukun bersama seluruh umat Islam di zaman Nabi. Jika dalam konteks terkini di Malaysia, mereka mungkin boleh di samakan dengan kaum Melayu, Cina, India dan Benggali.
Bagi orang Melayu, segala bukti non-pembelaan terhadap bangsanya sudah lebih dari cukup. Bagi non-Melayu pula, mereka kurang nampak dan mulai tidak yakin lagi akan satu masa depan yang cerah untuk Malaysia dibawah kepimpinan Umno yang ada sekarang. Di hati kecil rakyat Malaysia pada amnya, apa yang sering terbetik dan dapat kesan dengan mudah oleh mereka ialah suasana cemerlang yang dibuat-buat. Pertumbuhan ekonomi. Laungan ucapan. Sokongan dan perhimpunan. Pelancaran itu dan ini. Lagu-lagu patriotik. Hampir semuanya seakan-akan diokestrakan secara 'pre-council'.
Lalu, sekadar bertanya. Adakah al-quran yang didudukkan di rehal dalam Perhimpunan Agung Umno yang baru berlalu itu adalah satu lagi ilham tambahan dalam sebuah sediwara terbaru?
Sesungguhnya, seratus ribu lautan manusia yang berbaju kuning, yang sanggup bergantungan di palang Komuter, STAR dan LRT; berkeliaran dan kadang-kadang kelihatan bertempiaran lari menyelamatkan diri dikejar polis, SB dan FRU di Masjid Negara, Masjid Jamek, Masjid India,Central Market dan lorong kaki-kaki lima kedai yang mengiringi Presiden PAS dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat ke Istana Negara pada demonstrasi aman pada 10 November 2007 yang lalu mengesahkan satu perkara sahaja iaitu: Umno yang sudah ditolak kerana mengkhianati amanah Allah dan mencemuh agama sendiri, mengherdik bangsa Melayu, bahkan sistem demokrasi berpilihan raya untuk kepentingan bangsa-bangsa di Malaysia.
Demonstran bukan mencabar apa-apa atau sesiapa seperti yang cuba disogok oleh Presiden Umno dan Timbalannya tetapi sekadar menuntut hak untuk melihat pilihan raya kali ke-12 dijalankan dengan BERSIH sebersih-bersihnya. Itu saja. Takkan salah !
Tidak berbangkit langsung, Presiden Umno yang pantang dicabar atau 60 NGO dan parti-parti politik pembangkang yang cuba mengheret Yang di-Pertuan Agong ke kancah politik.
Macam mana pula, Pengerusi SPR dilantik oleh baginda tiba-tiba pula baginda dilihat sebagai seorang yang tidak boleh ambil tahu mengenai hal ehwal perjalanan pilihan raya yang bakal membentuk kerajaan negaranya sendiri !
Soal Kebawah Duli kita akan diheret ke mana-mana pun tidak timbul kerana baginda lebih arif dari apa yang mungkin disangkakan oleh sesetengah pemimpin Umno. Duli-duli Baginda Raja-Raja kita ada penasihat-penasihat yang cukup lengkap.
Ini bukan zaman sistem monarki berkuasa mutlak Raja Hammurabi dalam tamadun Mesopotamia 3,500 tahun S.M. di mana 'the right devine of Kings is to govern wrong' - Alexander Pope.
Sebagai penutup, izinkan saya kembali kepada pertanyaan asal. Untuk apa al-quran di rehal di dalam perhimpunan itu sebenarnya kerana kamipun memakai kitab yang sama di Kelantan.
Fungsinya berlainan sama sekali. Menteri Besar Kelantan menjadikannya sebagai panduan praktikal dalam pemerintahan dan bukan perhiasan untuk sekadar teman berpidato demi mengelabui mata sesiapa atau bagi lain-lain tujuan kosmetik.
-Petikan harakah daily.
Ahad, 18 November 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 komen:
Catat Ulasan