Blogger Backgrounds

Pages

Jumaat, 31 Ogos 2007

Malaysia Negara Islam?


Negara Malaysia adalah sebuah negara islam seperti mana yang telah diletakkan dalam perlembagaan yang menyatakan ianya ialah agama bagi persekutuan,ia seolah-olah menganggap negara ini sudah diberi nyawa dan dimanusiakan sebagai seorang Islam. Seperti seorang beragama Islam, sejauh mana kekuatan keislamannya bergantung pula kepada sebanyak mana pelaksanaannya kepada peruntukan agama itu sendiri.

Apabila bercakap mengenai negara Islam kita tidak dapat lari daripada membincangkan takrifan yang dibawa ulama. Umpamanya Syeikh Muhammad Abu Zuhrah membahaskan kedudukan negara Islam berlegar antara dua pandangan iaitu, pertama, sebuah negara yang menjalankan hukum-hakam dan undang-undang syariah secara menyeluruh, maka negara itu adalah negara Islam. Jika sebaliknya yang berlaku, maka negara itu tidak boleh dianggap negara Islam.

Pandangan kedua, merujuk kepada keamanan orang Islam dan kekuasaan pentadbiran mereka.

Jika orang Islam memegang tampuk pemerintahan dan menjadi pemimpin dalam negara dan seluruh masyarakat hidup dengan aman dalam negara itu, maka negara adalah negara Islam.

Menurut Ibnu Qayyim, majoriti ulama Islam berpendapat negara Islam ialah negara yang diduduki orang Islam, berjalan padanya undang-undang syariah dan selagi mana tidak berjalan padanya hukum-hakam Islam maka ia bukanlah negara Islam.

Al-Kasani pula menyebut sebuah negara dikatakan negara Islam jika zahir iaitu jelas kelihatan Islam di dalamnya dan yang dimaksudkan zahir Islam itu ialah zahir hukum-hakamnya.

Al-Sarakhsi pula berpendapat, negara Islam ialah nama bagi suatu tempat atau kawasan yang berada di bawah kekuasaan orang Islam di mana semua penduduk beroleh keamanan dan ketenteraman berada di dalamnya. Ini menunjukkan perkara yang menjadi sandaran membezakan antara negara Islam atau negara lainnya ialah kekuasaan atau pemerintahan dan perjalanan hukum-hakam/undang-undang.

Jelas berdasarkan takrifan di atas bahawa ada pendapat bersifat umum, ada pula yang terperinci dan lebih ketat. Pandangan majoriti melihat kepada pelaksanaan undang-undang syariah sebagai asas untuk meletakkan sesebuah negara dianggap Islam.

Pendapat yang bersifat umum melihat kepada siapa yang memerintah dan apakah wujud undang-undang syariah, dan jika tidak, apakah ada tanda syiar Islam dilaksanakan dalam sesebuah negara. Jika ada dan masyarakat hidup dalam harmoni serta aman, ia juga termasuk dalam istilah negara Islam.

Bagaimana pula kedudukan Malaysia berdasarkan peruntukan Perlembagaan yang ada?

Dari sudut perlembagaan dan undang-undang yang berkuatkuasa, jelas bahawa undang-undang Islam tidak sepenuhnya dilaksana di Malaysia.

Terdapat juga undang-undang yang membenarkan apa yang dilarang oleh syariah Islam. Dalam hal demikian kita mungkin tersasar jika menyatakan Malaysia adalah sebuah negara Islam sepenuhnya seperti ditakrifkan oleh ulama.

Islam masih lagi belum diamalkan sebagai ‘addin’ atau cara hidup di Malaysia. Namun sebagai negara majoritinya umat Islam, usaha ke arah itu sedang giat dilakukan pelbagai pihak termasuklah oleh kerajaan.

Contohnya, di Jabatan Peguam Negara sudah ditubuhkan sebuah seksyen yang dinamakan Seksyen Syariah. Seksyen Syariah ini akan memantau semua rang undang-undang yang bakal dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Seksyen ini akan mengkaji aspek syariah rang undang-undang berkenaan. Tidak cukup dengan pegawai di jabatan itu, seksyen ini juga dibantu oleh ulama, NGO Islam, ahli akademik dan lain-lain melalui sebuah jawatankuasa yang dinamakan Komuniti Syariah, Jabatan Peguam Negara Malaysia.

Dalam hal demikian, rang undang-undang yang diluluskan nanti tidak semestinya membawa nama Islam tetapi semangat dan inti patinya dapat digarap selaras dengan hukum syarak.

Sistem perundangan di Malaysia adalah berteraskan prinsip demokrasi berparlimen. Sistem ini mengasingkan tiga fungsi utama iaitu eksekutif, undang-undang dan kehakiman. Idealnya ketiga-tiga cabang perundangan ini sepatutnya memainkan peranan melengkapkan antara satu sama lain.

Sistem perundangan seperti ini tidak semestinya bertentangan dengan syariah Islam. Pada masa sama, kita perlu jelas bahawa segala undang-undang termasuk undang-undang Islam perlu dikodifikasi dan diluluskan oleh badan perundangan sebelum ia boleh dilaksanakan di negara ini.

Malaysia adalah negara umat Islam dan warga bukan Islam tidak ditindas daripada mengamalkan agama mereka. Malah, dalam banyak keadaan kerajaan memberikan perhatian yang lebih kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia. Masyarakat bukan Islam pula harus akur kedudukan istimewa Islam yang sudah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia adalah sebuah negara berteraskan demokrasi berparlimen dan kerajaan yang dipilih perlu memberi keistimewaan kepada agama Islam selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan Perlembagaan ini sekular atau Islam tidak harus menghangatkan suasana perundangan Malaysia kerana ia mungkin akan membawa implikasi terhadap kedudukan Islam di negara kita. Apa yang penting ialah pengisian perundangan negara harus dari masa ke semasa dibuat ke arah mendekatkan diri kepada Islam.

Islam boleh berkembang di dalam negara Islam seperti yang dibangunkan Rasulullah SAW dan Islam juga boleh hidup dalam negara sekular seperti apa yang berlaku di Turki. Sudah tentunya Islam juga akan berkembang mekar di negara kita Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

0 komen: